Empat Pasangan Pengantin Saudara Kita Raih Penghargaan Dalam Majlis Tautan Kasih
SERIAN: Empat pasangan pengantin daripada komuniti Saudara Kita diraikan dalam suasana penuh bermakna pada Majlis Tautan Kasih Saudara Kita sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS), sekali gus menjadi antara pengisian istimewa yang menceriakan majlis tersebut.
Majlis simbolik itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pasangan yang telah mendirikan rumah tangga, di samping mencerminkan komitmen MIS dalam memperkukuh institusi kekeluargaan Islam dalam kalangan komuniti Saudara Kita.
Pengarah JAIS Ustaz Mual Suaud dalam ucapannya melahirkan rasa syukur atas kesempatan untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh ukhuwah menerusi penganjuran Majlis Tautan Kasih.
Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi platform untuk menyantuni komuniti Saudara Kita serta menyemai nilai kebersamaan, saling menyokong dan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat.
Majlis Tautan Kasih Saudara Kita merupakan antara inisiatif Majlis Islam Sarawak dalam mendekati masyarakat menerusi pendekatan Ziarah Mahabbah yang menitikberatkan aspek kebajikan, dakwah dan pembangunan komuniti secara inklusif. -EDISI UKAS