Taman Negara Niah Diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO
NEW DELHI: Sarawak melakar satu lagi sejarah apabila Taman Negara Niah diumumkan secara rasmi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Ke-46 2024 di New Delhi, India, hari ini.
Pengiktirafan itu bukan sahaja membawa sinar baharu dalam industri pelancongan Sarawak tetapi juga menjulang nama negara di persada antarabangsa.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menzahirkan rasa bangga dan gembira atas pengiktirafan terbesar itu sambil menekankan kepentingannya terhadap budaya, sejarah dan ekologi.
"Pengiktirafan UNESCO menggariskan kepentingan global Taman Negara Niah sebagai tapak yang mempunyai nilai sejagat yang luar biasa.
"Ini merupakan salah satu lagi bukti komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dalam memelihara dan melindungi warisan semula jadi dan budaya demi kepentingan generasi akan datang,” katanya yang mengetuai delegasi Sarawak ke India.
Acara tersebut berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Bharat Mandapam, Appu Ghar, Pragati Maidan, New Delhi, bermula 21 hingga 31 Julai ini.
Mesyuarat yang dihadiri lebih 2,000 delegasi dari 150 negara itu dirasmikan Perdana Menteri India, Shri Narendra Modi.
Selain itu, pameran turut diadakan di Bharat Mandapam sekali gus menyerlahkan kebudayaan negara berkenaan.
Menurut Datuk Len, Taman Negara Niah terkenal dengan kepentingan arkeologinya, terutamanya Gua Niah.
Malah ujarnya tapak warisan bersejarah itu mempunyai beberapa bukti terawal penempatan manusia di Asia Tenggara dipercayai sejak 50,000 tahun dahulu.
"Landskap yang memukau, kepelbagaian biologi dan warisan budaya menjadikan tapak ini yang sangat penting di peringkat Sarawak, Malaysia mahupun antarabangsa.
"Malah inskripsi Taman Negara Niah dalam Senarai Warisan Dunia adalah kemuncak usaha dan dedikasi bertahun-tahun oleh kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
"Kejayaan ini adalah berkat kerjasama yang erat di antara semua agensi-agensi kerajaan di peringkat Sarawak mahupun Persekutuan. Sokongan padu juga diberikan oleh rakyat Sarawak khususnya komuniti tempatan di kawasan Niah,” katanya.
Beliau menambah, pengiktirafan berprestij itu dijangka meningkatkan usaha pemuliharaan, menggalakkan pelancongan mampan dan memupuk kerjasama antarabangsa yang lebih besar dalam pemuliharaan warisan taman yang tidak ternilai.
"Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ‘International Council on Monuments and Sites’ (ICOMOS) dan UNESCO di atas pengiktifaran ini,” ujarnya.
Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Dato' Muzafar Shah Mustafa, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia selaku ketua delegasi Malaysia, Dato' Roslan Tan Sri Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin, Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Dr Idris Ismail dan Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran. -EDISI UKAS