TYT Sarawak Terima Kunjungan Perpisahan Dato Fenny Nuli
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan perpisahan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Dato Fenny Nuli di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Dato Fenny Nuli telah berkhidmat sejak 2024 sebelum dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Austria selepas menerima watikah pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara baru-baru ini.
Dalam kunjungan hampir sejam itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi merakamkan ucapan tahniah kepada Dato Fenny atas pelantikan berkenaan serta menzahirkan penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan cemerlang beliau sepanjang menerajui Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri.
Pada masa sama, Dato Fenny merakamkan penghargaan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah atas sokongan, bimbingan serta nasihat yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat di Sarawak.
TYT Sarawak dan isteri menyatakan keyakinan terhadap pengalaman luas Dato Fenny dalam perkhidmatan diplomatik termasuk pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Peru selain penempatan di Geneva dan beberapa misi diplomatik lain membolehkan beliau menggalas amanah baharu dengan cemerlang serta terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Austria.
Beliau berdua turut mendoakan agar Dato Fenny sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. -EDISI UKAS