Projek MMMLL Rancak, Jajaran Marudi–Kuala Melinau Bermula
MARUDI: Pembinaan Jaringan Jalan Miri–Marudi–Mulu–Long Panai–Long Lama (MMMLL) bertambah rancak dengan bermulanya pembinaan jajaran Marudi–Kuala Melinau (Mulu) dari Rumah Stephen Kalong.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata jajaran MMMLL ini akan mengurangkan kebergantungan rakyat di kawasan ini terhadap pengangkutan sungai dan jalan balak.
“Dengan jaringan jalan yang lebih baik, ramai pelancong domestik dan antarabangsa akan memilih untuk melawat kawasan Baram, Marudi dan Mulu melalui jalan darat.
“Ini akan membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk mengusahakan homestay, restoran, kraftangan, pengangkutan dan pelbagai perniagaan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang pada Majlis Ngiling Bidai Jawatankuasa Pembangunan Poyut Lubok Nibong, Marudi pada Ahad.
Datuk Gerawat berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar bagi memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Ketika lawatan sempena majlis perasmian Jambatan Marudi awal tahun 2025, beliau menegaskan bahawa Baram dekat dihatinya dan mahu kawasan ini terus maju serta membangun pesat.
“Sebab itu Kerajaan Sarawak mengambil langkah berani melaksanakan projek ini bagi memastikan perjalanan dari Miri ke Marudi menjadi lebih cepat dan selesa,” katanya.
Sebagai Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap pemantauan projek, beliau memberi jaminan bahawa setiap projek akan dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan kualiti ditetapkan demi manfaat rakyat.
Dalam majlis sama, Datuk Gerawat mengumumkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan Poyut Lubok Nibong sebagai sokongan kepada penganjuran program serta aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Majlis berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat setempat yang menunjukkan semangat perpaduan serta penghayatan terhadap adat dan budaya yang masih utuh di kawasan berkenaan.
Turut hadir Ketua Masyarakat Iban Daerah Marudi, Pemanca Randie Bundan, Pengerusi Pembangunan Poyut Lubok Nibong, Penghulu Jimbau Ena, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Serakup Indu Dayak Sarawak merangkap Pengerusi SIDS Cawangan Marudi, Kaunselor Yanti Nyanggau. - EDISI UKAS