Kerajaan Terus Perkukuh Pengiktirafan Hak Tanah NCR Berlandaskan Undang-Undang
BINTULU: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh usaha mengiktiraf dan melindungi hak tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi pelaksanaan program penyukatan yang berlandaskan bukti sah serta peruntukan undang-undang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan bukan sahaja mengiktiraf tanah NCR, malah melaksanakan kerja penyukatan secara sistematik bagi memastikan hak pemilik tanah terus terpelihara.
“Program penyukatan kampung-kampung tradisi dan penyukatan tanah NCR melalui inisiatif baharu merupakan program berterusan kerajaan dan akan dilaksanakan selagi ia diperlukan kerana kerajaan benar-benar mahu menjaga kebajikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi kawasan Bintulu di Auditorium BDA, Wisma Bintulu pada Isnin.
Menurut beliau, sejak Inisiatif Baharu NCR diperkenalkan pada 2010, lebih 1.238 juta hektar tanah NCR berjaya diukur di seluruh Sarawak, manakala hampir 967,000 hektar telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Katanya, pencapaian itu jauh mengatasi keluasan tanah yang berjaya disukat sebelum 2010, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan baharu kerajaan dalam mempercepatkan proses pengukuran tanah adat.
Beliau berkata, penyukatan tanah dilakukan berdasarkan permohonan pemilik, bukti yang sah dan proses libat urus bersama masyarakat bagi mengelakkan pertikaian sempadan serta memastikan hak semua pihak dipelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat memberi kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei sepanjang proses penyukatan bagi membolehkan lebih ramai pemilik memperoleh hak milik tanah masing-masing.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap ADUN Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju, Datuk Majang Renggi, ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan ADUN Jepak, Iskandar Turkee.-EDISI UKAS