Hospital Kapit Terima Sumbangan Bangku Panjang, Kerusi Untuk Unit Derma Darah
KAPIT: Hospital Kapit menerima sumbangan sebuah bangku panjang lengkap dengan penyandar serta beberapa kerusi bagi kegunaan Unit Derma Darah hasil inisiatif Persatuan Tai San Ten Kapit dengan sokongan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Menurut Datuk Jefferson yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, sumbangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam membantu meningkatkan kemudahan kesihatan demi keselesaan pesakit, penderma darah dan pengunjung hospital.
“Kerjasama erat antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta perlu terus diperkukuhkan bagi menyokong usaha mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Hospital Kapit pada Isnin.
Beliau telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM13,000 bagi menjayakan penyediaan bangku panjang dan kerusi tersebut, manakala Salesman Association Sibu turut menyumbang RM3,000 sebagai sokongan bagi menambah baik kemudahan di Unit Derma Darah Hospital Kapit.
Turut hadir semasa majlis penyerahan ialah Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kandawang.-EDISI UKAS