Lebih Ramai Nelayan, Tekong Sarawak digalak Miliki Kompentensi Diiktiraf
MIRI: Lebih ramai nelayan, tekong bot nelayan dan pengendali vesel domestik di Sarawak digalakkan memperoleh kompetensi yang diiktiraf bagi meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh budaya keselamatan dalam industri maritim.
Pengarah Laut Wilayah Sarawak, Bianus Muyou berkata pengalaman luas di laut merupakan satu kelebihan, namun ia perlu disokong dengan latihan dan pensijilan yang memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Beliau berkata industri maritim hari ini memerlukan individu yang bukan sahaja berpengalaman, malah memahami peraturan semasa serta mampu mengendalikan vesel secara selamat dan profesional.
"Saya berharap selepas ini kita akan melihat lebih ramai nelayan, tekong dan pengendali vesel domestik di Sarawak yang bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga mempunyai kompetensi yang diiktiraf.
"Pengalaman membawa kita ke laut, tetapi ilmu dan kompetensi memastikan kita pulang dengan selamat," katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Kursus Mualim di Atas Kapal Kurang Daripada 500 GT Pelayaran Domestik di sebuah hotel di Miri pada Isnin.
Peserta kursus ini terdiri daripada nelayan, tekong bot nelayan, pengendali bot pemancing serta kru dek kapal domestik yang mempunyai pengalaman luas beroperasi di laut.
Bianus menambah, pensijilan itu bukan sahaja meningkatkan kelayakan profesional seseorang, malah membuka peluang kepada perkembangan kerjaya yang lebih luas dalam industri maritim.
Beliau turut menggesa peserta menjadikan kursus berkenaan sebagai permulaan kepada pembelajaran sepanjang hayat memandangkan industri maritim sentiasa berkembang seiring perubahan teknologi, standard operasi dan keperluan perundangan.
"Peningkatan kompetensi warga maritim bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah menyumbang kepada keselamatan pelayaran serta peningkatan profesionalisme industri maritim negara secara keseluruhannya," ujarnya.
Turut hadir Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab, Penolong Pengarah Unit Pembangunan dan Persijilan Pelaut Jabatan Laut Wilayah Sarawak, Putra Abdul Hamid, Ketua Cawangan Pengembangan Perikanan Laut Sarawak, Fairol Tajuddin Suhaili, Pengarah Urusan TCCS Marine Sdn Bhd, James Ho dan Pengarah Latihan Kapten Budyuzaman Abu Seman.- EDISI UKAS