Projek RTP Tingkat Keselamatan Jalan, Keselesaan Penduduk DUN Pelawan
SIBU: Dua projek naik taraf infrastruktur bernilai RM300,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah berjaya disiapkan di kawasan DUN Pelawan, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan jalan raya serta keselesaan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee telah mengadakan pemeriksaan akhir terhadap kedua-dua projek tersebut yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sibu.
Menurut beliau, projek pertama melibatkan penggantian pembentung lama yang telah rosak dan tenggelam sejak bertahun-tahun sehingga menyebabkan keadaan jalan menjadi sempit serta berisiko kepada pengguna jalan raya.
“Keadaan tersebut membahayakan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam kerana longkang yang cetek menyebabkan jalan menjadi terlalu sempit.
“Justeru, pembentung lama telah digantikan dengan dua set pembentung baharu yang lebih kukuh dan tahan lama bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Beliau menjelaskan, meskipun kawasan berkenaan merupakan kawasan perumahan, penggunaan jalan oleh lori dan kenderaan berat tidak dapat dielakkan, menjadikan kerja menaik taraf pembentung tersebut amat penting bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu.
Sementara itu, projek kedua melibatkan kerja menaik taraf laluan pejalan kaki sepanjang 146 meter yang terletak di belakang Taman Selera Muhibbah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu menambah, struktur laluan tersebut telah rosak sejak kira-kira 30 tahun lalu akibat kerja-kerja penyelenggaraan longkang menggunakan jengkaut.
Menurutnya, projek berkenaan bukan sahaja melibatkan pembinaan semula keseluruhan laluan pejalan kaki, malah turut menceriakan kawasan yang sebelum ini kelihatan terbiar dan kurang dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
“Apabila siap sepenuhnya, penduduk juga boleh memanfaatkan laluan ini sebagai tempat beriadah dan berjalan kaki pada waktu pagi dalam suasana yang lebih selesa dan selamat,” tambah beliau.-EDISI UKAS