Lebih 1,000 Hadir Meriahkan Majlis Ngiling Bidai Meluan
SARIKEI: Majlis Ngiling Bidai terus menjadi wadah memperkukuh perpaduan dan memelihara warisan budaya masyarakat Dayak apabila lebih 1,000 pengunjung memeriahkan sambutan yang dianjurkan Jawatankuasa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Meluan Daerah Pakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata kehadiran memberangsangkan itu mencerminkan komitmen masyarakat untuk terus memartabatkan adat dan tradisi yang menjadi identiti masyarakat Dayak sejak sekian lama.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu bukan sekadar meneruskan warisan turun-temurun, malah berperanan sebagai medium menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Program seperti ini mampu mengukuhkan semangat perpaduan, merapatkan hubungan silaturahim serta menggalakkan interaksi yang harmoni dalam kalangan masyarakat, khususnya di kawasan Meluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai anjuran KMKK Meluan Daerah Pakan yang berlangsung di Dewan Sentral Sarikei, pada Sabtu.
Rolland berkata, Ngiling Bidai merupakan adat tradisi masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban, yang menandakan berakhirnya sambutan Hari Gawai Dayak selepas sebulan diraikan.
Katanya, program berkenaan juga menjadi platform penting untuk menghargai warisan budaya sambil mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sepanjang majlis, termasuk persembahan tarian tradisional, nyanyian, demonstrasi adat resam serta aktiviti kemasyarakatan yang mendapat penyertaan aktif penduduk.
Dato Rolland turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, TR Jimmy Jarop bersama seluruh ahli KMKK Meluan Daerah Pakan atas komitmen dan usaha menjayakan program berkenaan.
Turut hadir ADUN Krian, Friday Belik, ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong serta tetamu lain.-EDISI UKAS