LCDA Perkukuh Legasi Pembangunan, Inspirasi Generasi Masa Depan
KOTA SAMARAHAN: Legasi pembangunan yang dibina sejak lebih empat dekad lalu terus menjadi asas kepada usaha melahirkan generasi pemimpin dan tenaga kerja masa depan apabila Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menganjurkan Program Townhall sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-45, pada Isnin.
Program bertemakan “Roots to Tomorrow: A Legacy Celebration Event” yang berlangsung di Dewan Jubli Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Kota Samarahan itu menghimpunkan warga LCDA, pelajar serta rakan strategik sebagai platform memperkukuh perkongsian pengalaman, kepimpinan dan aspirasi pembangunan negeri.
Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan mengimbau perjalanan lebih empat dekad agensi itu, malah menjadi wadah memperkasa perkongsian ilmu, pengalaman dan nilai kepimpinan kepada generasi muda.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada tahun 1981, LCDA telah memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan Sarawak menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembangunan perladangan, pembangunan bandar, projek pembangunan tanah strategik serta program berfokuskan komuniti.
“Walaupun landskap pembangunan, cabaran dan ekspektasi masyarakat sentiasa berubah, matlamat utama LCDA kekal iaitu mewujudkan peluang pembangunan mampan yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Townhall sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Kota Samarahan.
Menurut beliau lagi, kejayaan yang dikecapi LCDA hari ini adalah hasil visi, komitmen dan dedikasi pemimpin terdahulu yang telah membina asas kukuh organisasi sejak penubuhannya.
Program tersebut turut diserikan dengan sesi perkongsian pengalaman oleh Pengurus Besar pertama LCDA, Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo, yang berkongsi cabaran serta pengalaman membangunkan agensi itu pada peringkat awal penubuhannya.
Katanya, perkongsian tersebut memberi pendedahan berharga khususnya kepada pelajar mengenai aspek kepimpinan, daya tahan serta tanggungjawab dalam menyumbang kepada pembangunan negeri.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan masa hadapan memerlukan pendekatan merentas disiplin yang menggabungkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, perniagaan, teknologi, alam sekitar dan sains sosial bagi memenuhi keperluan pembangunan yang semakin kompleks.
Sehubungan itu, penganjuran Mini Career Fair sempena program tersebut diharap dapat membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali prospek kerjaya serta memahami peranan mereka dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UiTM Cawangan Sarawak atas kerjasama menjayakan program berkenaan, selain mengiktiraf komitmen semua agensi, pempamer dan jawatankuasa penganjur yang telah memastikan sambutan ulang tahun ke-45 LCDA berlangsung dengan jayanya.-EDISI UKAS