Borneo Pickleball International Tournament 2026 Sasar 2,000 Kehadiran
KUCHING: Borneo Pickleball International Tournament (BPIT) 2026 kembali dianjurkan buat kali kedua dengan sasaran penyertaan 500 peserta serta hampir 1,500 pengunjung dan penonton, menjadikan jumlah kehadiran keseluruhan dianggarkan mencecah 2,000 orang sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 7 hingga 12 Oktober ini di gelanggang Pikabol Malaysia, di sini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan anjuran Persatuan Pickleball Kuching (KPA) itu bukan sahaja mengangkat sukan pickleball ke tahap lebih tinggi, malah memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan sukan di rantau ini.
Menurut beliau, BPIT yang diperkenalkan pada 2024 merupakan kejohanan pickleball utama pertama di Malaysia dan Borneo, selain menjadi kejohanan berpasukan terbesar negara bagi sukan tersebut.
“Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM80,000, sekali gus menjadikannya antara kejohanan paling berprestij dengan nilai hadiah tertinggi di Borneo, malah berkemungkinan antara yang tertinggi di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini pada Khamis.
Tambah beliau, kejohanan itu dijangka menarik penyertaan pemain dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura serta beberapa negara lain, sekali gus memperluas jaringan dan pembangunan sukan tersebut di peringkat antarabangsa.
BPIT 2026 akan mempertandingkan acara berpasukan dan individu. Acara berpasukan melibatkan 24 pasukan dalam lima kategori iaitu perseorangan lelaki terbuka, beregu lelaki terbuka, beregu wanita terbuka, beregu veteran lelaki berusia 50 tahun ke atas serta beregu campuran terbuka dengan jumlah umur pasangan melebihi 90 tahun.
Bagi kategori individu pula, pertandingan melibatkan acara beregu lelaki terbuka, beregu wanita terbuka, beregu veteran lelaki berusia 50 tahun ke atas dan beregu campuran terbuka.
Beliau menambah, penganjuran kejohanan tersebut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negeri menerusi kehadiran peserta dan pelawat dari luar Sarawak serta luar negara.
“Mereka yang datang dari luar Kuching, luar Sarawak atau luar Borneo perlu menginap di hotel, makan di restoran dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan.
“Sebab itulah Kementerian Pelancongan sentiasa memberikan sokongan padu kepada apa jua penganjuran acara seperti ini,” ujarnya.- EDISI UKAS