Kerajaan Sarawak Perkukuh Ekosistem Kepimpinan Sukan, Perkasa Peranan Wanita
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh ekosistem kepimpinan sukan yang inklusif dan mampan dengan memperluaskan penyertaan wanita dalam peringkat kepimpinan, selaras dengan usaha melahirkan barisan pemimpin berwibawa bagi memperkasakan pembangunan sukan negeri.
Komitmen itu disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus organisasi sukan menerusi pembangunan modal insan, peningkatan kompetensi kepimpinan serta penglibatan lebih ramai wanita dalam proses membuat keputusan dan pentadbiran sukan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pembangunan sukan yang mampan tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan atlet, malah memerlukan ekosistem yang kukuh merangkumi kepimpinan berwibawa, tadbir urus yang cekap serta pengurusan organisasi yang profesional bagi memastikan sektor sukan terus berkembang secara progresif.
“Wanita bukan sekadar penyokong pembangunan sukan, tetapi pencetus perubahan, pembina budaya organisasi dan pemimpin masa depan yang mampu memperkukuh landskap sukan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Transformasi Korporat Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Asmawaty@Siti Asmah Ahmad sempena Majlis Penutupan Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, pada Khamis.
Sehubungan itu katanya, wanita perlu terus diberikan ruang dan peluang untuk memainkan peranan lebih besar sebagai pemimpin dalam organisasi sukan kerana mereka mampu menjadi pemangkin kepada perubahan serta memperkukuh budaya kerja yang lebih dinamik.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memperluaskan inisiatif pembangunan kepimpinan bagi meningkatkan keyakinan, kompetensi dan profesionalisme wanita agar lebih ramai tampil menerajui persatuan sukan, pengurusan atlet, pembangunan bakat serta pentadbiran organisasi sukan.
Menurut beliau, usaha memperkasakan kepimpinan wanita merupakan antara komponen penting dalam membina ekosistem sukan yang berdaya tahan dan berdaya saing, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak melahirkan bukan sahaja atlet bertaraf dunia, malah barisan pemimpin sukan yang berkaliber.
Katanya, penganjuran Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan menjadi platform strategik untuk membentuk pemimpin wanita yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan integriti tinggi dalam menerajui organisasi sukan pada masa hadapan.
Sepanjang program selama dua hari itu, seramai 120 peserta mengikuti lapan modul pembangunan kepimpinan yang merangkumi komunikasi strategik, kecerdasan emosi, penyelesaian konflik, kejurulatihan dan bimbingan, pembinaan kepercayaan, kepimpinan organisasi serta perancangan strategik bagi memperkukuh kapasiti kepimpinan dalam sektor sukan.
Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu, pengalaman dan jaringan profesional yang dibina sepanjang program untuk diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memperkukuh organisasi sukan, memperluaskan penyertaan wanita dalam kepimpinan serta menyokong pembangunan sukan Sarawak secara berterusan.— EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Natalie Cherinie Johnny