FTES Pemangkin Capai Sasaran Pendapatan Isi Rumah RM15,000 Menjelang 2030
SRI AMAN: Skim Pendidikan Tertiari Percuma Sarawak (FTES) diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan sasaran pendapatan isi rumah sebanyak RM15,000 sebulan menjelang tahun 2030 menerusi penghasilan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi dalam bidang kritikal.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, peluang melanjutkan pengajian menerusi FTES di empat institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak negeri bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.
Menurut beliau, empat IPT berkenaan ialah Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS, Curtin University Malaysia dan Swinburne University of Technology Sarawak Campus.
“Ibu bapa perlu mendorong anak-anak untuk cemerlang dalam pendidikan menengah atas dan seterusnya memohon FTES bagi mengikuti program pengajian kritikal termasuk bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di keempat-empat IPT tersebut.
“Apabila bergelar graduan, mereka berpeluang memperoleh pekerjaan bergaji tinggi sekali gus membantu mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM15,000 sebulan seperti yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Ngiling Tikai Bukit Begunan di Rumah Landau Jelani, Gua Dunggat, dekat sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Sri John Sikie turut menasihati masyarakat supaya menggunakan saluran rasmi bagi mengemukakan aduan berkaitan kemudahan awam dan bukannya hanya memuat naik isu berkenaan di media sosial.
Menurutnya, aduan berkaitan kerosakan jalan, bekalan air atau kemudahan lain sewajarnya disalurkan kepada wakil rakyat atau agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih berkesan.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Landau, Gua Dunggat bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada JKKK Rumah Landau serta RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang berkenaan.
Hadir sama Pemangku Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Frank Lani, enam penghulu, 116 tuai rumah serta 44 wakil biro wanita dari sekitar kawasan Bukit Begunan.-EDISI UKAS