Jambatan Batang Lupar 2 Dijangka Dibuka Hujung Ogos Ini
SIMANGGANG: Jambatan Batang Lupar 2 yang menjadi antara projek infrastruktur strategik Sarawak dijangka mula dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya pada penghujung Ogos ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek bernilai RM223.633 juta itu kini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 91 peratus.
"Jambatan Batang Lupar 2 kini sudah pun mencapai status 91 peratus siap dan bakal menyambungkan Jalan Utama Kedua serta Jalan Pesisir Sarawak di samping mengubah cara perhubungan di antara Sri Aman dengan Betong.
"Dengan adanya jambatan baharu ini maka rangkaian jalan raya di Sarawak sudah pun dihubungkan sepenuhnya dengan jarak perjalanan dari Kuching ke Sibu dapat dipendekkan kepada empat jam berbanding lima jam sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyambungan Jambatan Batang Lupar 2 di Sembauh, Bandar Simanggang pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah turut memberitahu, projek pembinaan Jalan Utama Kedua serta Jalan Pesisir Sarawak yang melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM11 bilion bakal mengubah landskap sistem pengangkutan negeri.
"Jalan Pesisir Sarawak dibina terus ke Miri manakala Jalan Utama Kedua Sarawak dibina sehingga ke Roban dengan pengguna kenderaan dari arah Sibu tidak perlu lagi melalui Bandar Saratok untuk ke Betong.
"Pengguna kenderaan dari arah Sibu sebaliknya boleh menuju ke Ulu Paku, Betong dengan melalui jalan raya yang sudah bersambung ke Pakan dan menjimatkan masa mereka untuk ke destinasi seterusnya," ujarnya.
Beliau berharap pembinaan jambatan dan jalan-jalan terbabit akan dapat memacu ekonomi Sarawak dan seterusnya memberi kesejahteraan terhadap penduduk dalam negeri ini.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Chiew Chee Yau, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr Cassidy Morris serta Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh.-EDISI UKAS