Projek Jambatan Bakal Cetus Ledakan Ekonomi Di Tebing Barat Sibu
SIBU: Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan bandar Sibu dengan kawasan tebing barat dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan zon pertumbuhan baharu sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi, meningkatkan nilai pelaburan serta membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, projek infrastruktur strategik yang mendapat sokongan serta-merta daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan.
Menurut beliau, pembinaan jambatan tersebut bukan sahaja akan meningkatkan jaringan perhubungan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan tebing barat Sibu yang mempunyai potensi besar untuk diterokai pada masa hadapan.
“Kita perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan di Bawang Assan dan kita mesti memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diberi mandat supaya pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak dapat diteruskan.
“Ini termasuk pembinaan jambatan ini yang akan mencetuskan ledakan ekonomi dan pembangunan di tebing barat Sibu,” katanya semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-12 SUPP Cawangan Bawang Assan Bersama Masyarakat Iban Bawang Assan pada Sabtu.
Selaras dengan agenda pembangunan tersebut, Datuk Amar Prof Dr Sim menjelaskan kemudahan infrastruktur itu diyakini mampu menarik lebih banyak pelaburan.
Ini jelasnya sekaligus merangsang aktiviti ekonomi setempat serta meningkatkan taraf hidup penduduk melalui peluang pekerjaan dan pembangunan yang lebih pesat pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Datuk Ding Kuong Hiing, Datuk Michael Tiang Ming Tee dan Chieng Jin Ek serta Senator Robert Lau.-EDISI UKAS