Program Semarak Kemerdekaan Semai Patriotisme, Perkukuh Perpaduan Komuniti
BINTULU: Program Semarak Kemerdekaan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus menjadi platform memperkukuh semangat patriotisme, memupuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program berkenaan bukan sekadar diadakan sempena sambutan Hari Sarawak, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat cintakan negeri serta menghayati nilai kemerdekaan yang menjadi asas kepada kemajuan dan keharmonian Sarawak.
Menurutnya, kemerdekaan sebenar bukan hanya diukur melalui kebebasan daripada penjajahan, sebaliknya turut merangkumi keupayaan rakyat untuk terus hidup dalam suasana aman, bersatu padu, saling menghormati dan berganding bahu membangunkan negeri.
“Program ini menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat cintakan Sarawak serta menghayati erti kemerdekaan dalam kalangan rakyat.
“Kemerdekaan yang sebenar juga bermaksud keupayaan kita untuk terus hidup dalam suasana aman, bersatu padu, saling menghormati serta berganding bahu membangunkan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Kemerdekaan di Dewan Serbaguna Kampung Baru di sini pada Sabtu.
Selain Program Semarak Kemerdekaan, UKAS turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk UKAS Bersama Komuniti, Juh Ngopi Bersama UKAS dan Juh Randau sebagai medium memperkukuh perpaduan, keharmonian dan toleransi dalam kalangan rakyat.
Program-program sebegini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara kerajaan dan rakyat, malah menjadi medium menyemarakkan semangat patriotisme, khususnya menjelang Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai depan.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berteraskan patriotisme seperti pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mewarna serta pertandingan busana kanak-kanak yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat. -EDISI UKAS