Transformasi Digital Perkukuh Daya Saing PMKS Sarawak
MIRI: Transformasi digital menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sarawak selaras dengan agenda ekonomi digital negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, usahawan perlu bersedia mengadaptasi teknologi digital bagi memastikan perniagaan kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin berkembang.
"Pelaksanaan sistem e-Invois bukan sahaja merupakan keperluan pematuhan, malah mampu meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan, ketelusan transaksi dan produktiviti perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Transformasi Digital & E-Invois 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
Program yang berlangsung pada 2 hingga 3 Julai itu berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta individu yang berminat menceburi bidang keusahawanan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan replika cek bagi beberapa program dan inisiatif pembiayaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), melibatkan Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan GO Digital.
Keseluruhan bantuan berjumlah RM4.09 juta itu memberi manfaat kepada 319 usahawan di Bahagian Miri, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan keusahawanan dan pendigitalan perniagaan.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai topik berkaitan transformasi digital, penggunaan platform digital dalam perniagaan, pelaksanaan e-Invois serta latihan praktikal bagi membantu usahawan memahami proses pendaftaran, pengurusan dan penggunaan sistem tersebut. -EDISI UKAS