Pembangunan Infrastruktur Perlu Seiring Pemantapan Modal Insan, Sahsiah Ummah
SIMUNJAN: Pembangunan infrastruktur yang pesat di Sarawak perlu bergerak seiring dengan pemantapan modal insan dan sahsiah ummah bagi memastikan kemajuan negeri ini kekal mampan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, pembangunan fizikal seperti jalan raya dan jambatan perlu diseimbangkan dengan pembangunan insan yang berteraskan ilmu, iman dan akhlak.
Menurut beliau, kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui pembinaan infrastruktur, sebaliknya turut bergantung kepada pembentukan masyarakat yang berintegriti, berilmu dan mempunyai nilai murni.
“Apabila kedua-duanya bergerak seiring, kita bukan sahaja membina Sarawak yang maju, malah melahirkan masyarakat yang sejahtera dan dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) Tahun 2026 Zon Selatan di Dewan Mesra Simunjan, pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ir Aidel memaklumkan, kerajaan sedang melaksanakan pembinaan lebuh raya baharu dua lorong yang menghubungkan Gedong dan Simunjan.
Katanya, projek tersebut turut melibatkan pembinaan jambatan berkembar baharu serta menaik taraf rangkaian jalan raya di kawasan pesisir termasuk Sebuyau, Sebangan hingga ke Mukah, sekali gus dijangka memberi limpahan manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk. -EDISI UKAS