Ziarah Mahabbah MIS Perkukuh Hubungan Institusi Agama Dengan Masyarakat
SIMUNJAN: Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) 2026 Zon Selatan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi agama dan masyarakat menerusi pendekatan turun padang yang lebih inklusif.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS), Mual Suaud berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti dakwah, malah menjadi medium menyampaikan dasar serta perkhidmatan secara terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, pelaksanaannya berteraskan prinsip hikmah bagi memahami keperluan sebenar masyarakat sekali gus memastikan setiap inisiatif pembangunan ummah memberi impak yang berterusan.
“Dakwah bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi mendekati masyarakat, memahami keperluan mereka dan membimbing dengan hikmah dalam membina kesejahteraan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Ziarah Mahabbah MIS 2026 (Zon Selatan) di Dewan Mesra Simunjan, pada Sabtu.
Mengulas tema "Ummah Maju Makmur", Mual berkata ia mencerminkan aspirasi melahirkan masyarakat yang seimbang dari aspek intelek, akhlak dan daya saing bagi menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendigitalan sebagai pemangkin pembangunan ummah, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Penguasaan STEM dan pendigitalan bukan sekadar keperluan ekonomi, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang berilmu dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Namun, teknologi tanpa nilai boleh disalahgunakan, manakala nilai tanpa penguasaan teknologi akan membataskan potensi pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar agenda memperkasakan ummah dipikul sebagai amanah bersama menerusi sinergi pelbagai agensi termasuk Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak dan Yayasan Wakaf Sarawak, selain sokongan pemimpin masyarakat serta sektor swasta. -EDISI UKAS