PAWE Sri Satok Bakal Miliki Bangunan Baharu Bernilai RM1.7 Juta
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda kebajikan warga emas menerusi pembinaan bangunan baharu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok bernilai RM1.7 juta yang bakal dibina di atas tapak seluas 2,137 meter persegi bersebelahan Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani (PKDAJ).
Dana pembinaan bangunan tersebut disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kepada Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) semasa Majlis Penyerahan Dana Pembinaan Bangunan PAWE Sri Satok di PKDAJ, di sini pada Ahad.
Ketika ditemui pemberita, Premier Sarawak berkata, penyediaan pusat aktiviti khusus untuk warga emas amat penting memandangkan Sarawak dijangka memasuki fasa masyarakat menua menjelang tahun 2027.
"Secara umumnya, dasar kerajaan ialah membangunkan lebih banyak kawasan riadah supaya masyarakat dapat berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti rekreasi dalam persekitaran yang hijau serta dilengkapi dengan kemudahan yang sesuai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebuah lagi PAWE akan dibangunkan di Samariang, Petra Jaya sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperluaskan kemudahan kebajikan kepada golongan warga emas.
Menurut beliau, penyediaan pusat seperti PAWE merupakan antara sistem sokongan sosial yang penting bagi memastikan warga emas terus menjalani kehidupan yang aktif, sihat dan produktif, di samping menggalakkan interaksi sosial serta penglibatan mereka dalam aktiviti komuniti.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman serta tetamu lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir