Lebih 3,000 Perwakilan Bakal Berhimpun Pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah Julai ini
SIBU: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu pada 26 Julai ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan.
Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata konvensyen berkenaan akan melibatkan penyertaan daripada 24 buah cawangan PBB di bawah zon berkenaan.
“Bagi tahun 2026 ini, penganjuran konvensyen khas parti komponen utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dibahagikan kepada empat buah zon iaitu Zon Selatan, Zon Betong, Zon Tengah dan Zon Utara.
"PBB Zon Tengah merupakan zon pertama yang akan mengadakan konvensyen ini iaitu pada 26 Julai ini (Ahad) bertempat di Stadium Tertutup Sibu. Ia akan berlangsung sepanjang hari dari pagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan konvensyen berkenaan di Stadium Tertutup Sibu, pada Ahad.
Dato Sri Alexander yang juga Pengerusi PBB Zon Tengah menambah, mesyuarat yang diadakan pada pagi ini adalah bertujuan untuk menyerahkan kesemua laporan persediaan gerak kerja.
Mengulas lanjut mengenai pengisian konvensyen sehari yang bertemakan “Jaga Sarawak, Intu Sarawak”, beliau berkata program berkenaan akan memfokuskan kepada dua pembentangan kertas kerja utama.
Katanya, pembentangan pertama membabitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
"Satu lagi pembentangan adalah berkaitan dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) serta hal isu-isu lain termasuklah isu politik.
"Buat masa sekarang kita belum menentukan siapakah yang akan membentangkan kertas kerja bagi tajuk-tajuk PCDS dan aspek politik itu nanti," katanya.
Kemuncak konvensyen khas itu nanti akan menyaksikan penyampaian ucapan amanat khas daripada Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Naib Yang Dipertua PBB Dato Sri Fatimah Abdullah, Datuk Dr Annuar Rapaee, Datuk Len Talif Salleh, Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Jefferson Jamit Unyat, Datuk Abdullah Saidol, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab, Lidam Assan dan yang lain. - EDISI UKAS