SRI AMAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komited memperhebat pembangunan luar bandar demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan GPS akan terus memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan kawasan luar bandar agar rakyat menikmati kemudahan infrastruktur, peluang ekonomi dan taraf hidup yang lebih baik.
Menurut beliau, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi.
“Pembinaan jambatan-jambatan di seluruh Sarawak bukan sekadar menyediakan jaringan perhubungan yang lebih efisien, malah menjadi ‘jambatan silaturahim’ yang menghubungkan komuniti luar bandar dengan pusat pertumbuhan ekonomi serta memudahkan urusan harian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simanggang, di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai sambutan tersebut, beliau berkata tradisi Ngiling Tikai bukan sekadar simbol penutupan rasmi sambutan Hari Gawai, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan, memelihara warisan budaya serta mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, keharmonian yang dikecapi Sarawak hari ini terhasil daripada amalan saling menghormati, toleransi dan kerjasama yang telah menjadi budaya masyarakat sejak sekian lama.
Sehubungan itu, beliau berkata penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) turut membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memelihara keharmonian antara agama melalui bantuan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam, sekali gus memperkukuhkan perpaduan rakyat. -EDISI UKAS