MIS Perkasa Pembangunan Ummah Hingga Ke Peringkat Akar Umbi
SIMUNJAN: Majlis Islam Sarawak (MIS) terus memperkukuh agenda memperkasa syiar Islam di seluruh negeri menerusi Program Ziarah Mahabbah yang menjadi wadah mendekati masyarakat, menyantuni keperluan penduduk serta memperkasakan pembangunan ummah secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.
Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha berkata, program yang dimulakan di Zon Selatan melibatkan Kuching, Kota Samarahan, Serian dan Sri Aman itu merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh kepimpinan Kerajaan Sarawak bagi memastikan agensi-agensi Islam sentiasa dekat dengan rakyat.
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sekadar menumpukan kepada pengukuhan penghayatan ibadah, malah memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang pendidikan bagi melahirkan generasi Islam yang berilmu, beradab dan berdaya saing.
“Kita mahu anak-anak bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, malah dibentuk dengan adab dan etika yang tinggi.
“Melalui penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kita mahu masyarakat Islam menjadi pemacu pembangunan Sarawak dan bukannya sekadar pemerhati,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Ziarah Mahabbah MIS di Dewan Mesra Simunjan, di sini pada Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun masyarakat Islam kini mewakili kira-kira 34.2 peratus daripada keseluruhan penduduk Sarawak, aspek peningkatan kualiti, aspirasi dan keupayaan perlu terus diperkasakan agar mampu bergerak seiring dengan arus pembangunan negeri.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian telah dilaksanakan termasuk demonstrasi seni penyembelihan oleh pakar, pemasangan tanda arah kiblat di tanah perkuburan, serta program pemerkasaan wanita hasil kerjasama dengan Tabung Baitulmal Sarawak.
Dalam usaha memperluaskan lagi budaya celik al-Quran, Datuk Misnu turut memperkenalkan inisiatif Anjung Mengaji atau rumah mengaji sebagai platform memperkasa pembelajaran Al-Quran dalam komuniti di seluruh Sarawak.
Beliau turut mengumumkan bahawa kursus pengurusan jenazah dan kursus solat akan dilaksanakan dalam masa terdekat di masjid serta surau sekitar Simunjan sebagai langkah memenuhi keperluan masyarakat setempat dan memperkukuhkan kefahaman agama dalam kalangan umat Islam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha MIS Mual Suaud, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Pengarah JAKIM Sarawak Hamdan Jar’ee, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat dan Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad. -EDISI UKAS