Sumbangan ‘Van Penyayang’ Tingkat Keupayaan KLCS Sampaikan Perkhidmatan Kepada Golongan Memerlukan
KUCHING: Sumbangan sebuah lagi ‘Van Penyayang’ kepada ‘Kuching Life Care Society’ (KLCS) meningkatkan lagi keupayaan mereka untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan penting kepada pesakit yang memerlukan penjagaan paliatif.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan seumpama ini membuktikan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti KLCS dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Kepercayaan sangat penting kerana sering saya katakan, apabila sesebuah NGO berjaya membina kepercayaan masyarakat dan para penyumbang, lebih mudah untuk mereka memperoleh sokongan apabila memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk kenderaan seperti van, peralatan mahupun keperluan lain bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan mereka.
“Kepercayaan dan keyakinan bahawa NGO itu melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat dengan ikhlas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan penyerahan van tersebut, di sini, pada Ahad.
Menurut Dato Sri Fatimah, van berkenaan merupakan sumbangan peribadi Chan Mang Tiam dari Mukah untuk membantu meningkatkan akses pengangkutan bagi pesakit yang memerlukan rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan paliatif di rumah, khususnya mereka yang berdepan dengan cabaran mobiliti serta kekangan pengangkutan.
Sementara itu, Presiden KLCS Hung Sung Huo berkata, sumbangan tersebut akan melancarkan lagi operasi mereka menyampaikan perkhidmatan diperlukan kepada masyarakat terutamanya dari aspek pengangkutan.
Menurut beliau, setakat ini KLCS memiliki tujuh buah ambulans, termasuk sebuah lagi yang bakal diterima, selain sebuah van khas Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebuah ‘Van Penyayang’, menjadikan keseluruhan aset pengangkutannya sebanyak 10 buah kenderaan.
Tambah beliau, antara perkhidmatan yang disediakan KLCS ialah wad penjagaan paliatif dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyediaan peralatan perubatan, perkhidmatan ambulans serta penghantaran jenazah apabila diperlukan. -EDISI UKAS