PRN Sarawak Ke-13 Dijangka Kekal Guna 82 Kerusi DUN Jika 17 Kerusi Baharu Belum Dimuktamadkan
KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang dijangka menggunakan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada sekiranya proses penambahan 17 kerusi baharu belum dimuktamadkan mengikut prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri akur bahawa proses penambahan kerusi tersebut berada di bawah bidang kuasa SPR dan perlu melalui setiap prosedur yang ditetapkan sebelum dapat dilaksanakan.
Menurut beliau, meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan penambahan kerusi berkenaan, proses tersebut masih perlu melalui pameran awam, penelitian terhadap maklum balas orang ramai serta prosedur lain yang dikendalikan oleh SPR.
"Ia mengambil masa lebih kurang tujuh bulan kalau daripada awal-awal bulanlah, tujuh atau enam bulan.
"Jadi kita akur kepada SPR kerana pilihan raya kita adalah proses demokrasi, mestilah mengikut kerangka undang-undang di bawah SPR.
"Kalau tempoh masanya begitu ketat, kita tengoklah bila masa kita mengadakan pilihan raya dan bila tamatnya mandat kita dan kita lihatlah keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Dana Pembinaan Bangunan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau mengakui terdapat kemungkinan penambahan 17 kerusi baharu tidak dapat dilaksanakan pada PRN Sarawak akan datang sekiranya proses yang ditetapkan SPR tidak sempat diselesaikan.
Menurut beliau, keadaan itu tidak menjejaskan pelaksanaan pilihan raya kerana PRN tetap boleh diadakan menggunakan 82 kerusi DUN sedia ada.
Pada masa yang sama, beliau berharap penambahan kepada 99 kerusi DUN dapat direalisasikan sebaik sahaja semua prosedur berkaitan dimuktamadkan.
Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan kestabilan politik serta kesinambungan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
PRN Sarawak ke-13 dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya pada Februari 2027 apabila tempoh DUN sedia ada tamat.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir