AirBorneo Bakal Umum Tambang Baharu Lebih Kompetitif
KUCHING: Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo dijangka mengumumkan kadar tambang baharu yang lebih kompetitif bagi laluan penerbangannya pada minggu hadapan atau pertengahan bulan ini, termasuk pakej tambang yang merangkumi bagasi dan hidangan dalam penerbangan tanpa caj tambahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengumuman tersebut melibatkan beberapa laluan utama, khususnya penerbangan Kuala Lumpur-Kuching, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menawarkan tambang yang lebih mampu milik kepada rakyat.
"Saya boleh beri sedikit bayangan. Tambang penerbangan Kuala Lumpur-Kuching akan menjadi lebih murah seperti yang telah kita janjikan.
"Harga itu juga termasuk bagasi dan makanan dalam penerbangan kerana biasanya syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan untuk bagasi, tetapi bagi AirBorneo semuanya telah dikira termasuk makan dalam kapal terbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Dana Pembinaan Bangunan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani, di sini pada Ahad.
Pada awal tahun ini, Premier Sarawak memaklumkan AirBorneo akan memulakan operasi pesawat jet pada Julai 2026 sebagai fasa kedua pengembangan syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu.
Operasi awal dijangka melibatkan laluan Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta selepas fasa pertama memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) menggunakan pesawat turboprop.
Jelas beliau, pembangunan AirBorneo merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan Sarawak untuk memperkukuh kesalinghubungan udara, merancakkan sektor pelancongan, menarik pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir