Sarawak Sunrise Aerodance 2026 Edisi Kuching Tarik 500 Peserta, Tutup Tirai Jelajah Seluruh Negeri
KUCHING: ‘Sarawak Sunrise Aerodance’ 2026 Edisi Kuching berjaya menarik penyertaan kira-kira 500 peserta daripada pelbagai latar belakang, sekali gus melengkapkan siri jelajah di seluruh Sarawak yang sebelum ini diadakan di Miri, Bintulu dan Sibu.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai berkata, sambutan menggalakan terhadap program itu mencerminkan perpaduan, semangat positif dan gaya hidup rakyat Sarawak.
Menurut beliau, penganjuran acara itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang yang menekankan keseimbangan anata pembangunan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Selain pembangunan ekonomi dan infrastruktur, perhatian yang seimbang juga perlu diberikan kepada kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian menyempurnakan acara berkenaan di sini, pada Ahad.
Tan berkata, penjagaan kesihatan bukan hanya menjadi tanggungjawab petugas kesihatan, sebaliknya memerlukan penglibatan setiap individu melalui amalan gaya hidup sihat seperti bersenam secara berkala.
Katanya, amalan tersebut mampu mengurangkan risiko penyakit berjangkit serta meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal.
Beliau turut berharap agar agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan, kumpulan komuniti dan sektor swasta terus bekerjasama menganjurkan lebih banyak program kesihatan dan rekreasi yang mudah diakses dengan memanfaatkan taman, ruang awam serta kemudahan komuniti.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Liew Ted Ghee berkata, program tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan senaman sebagai rutin harian melalui aktiviti aerodance yang sesuai disertai semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.
Pada masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua jabatan kerajaan, penaja, rakan kerjasama, sukarelawan dan peserta yang menjayakan program berkenaan.
Program itu bukan sahaja menutup tirai Jelajah Sarawak Sunrise Aerodance 2026, malah menjadi platform memperkukuh semangat komuniti, memupuk budaya hidup sihat serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kecergasan di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS