Ngiling Tikai Bukan Sekadar Penutup Gawai, Tetapi Ruang Bermuhasabah
SARATOK: Tradisi Ngiling Tikai bukan sekadar simbolik penutupan sambutan Hari Gawai Dayak, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat bermuhasabah, mensyukuri nikmat serta memperbaharui azam ke arah kehidupan yang lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata tradisi yang diwarisi turun-temurun itu turut mengajak masyarakat mengenang segala kejayaan yang telah dicapai sepanjang musim Gawai, di samping memperbaiki kelemahan bagi mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Menurut beliau, nilai yang terkandung dalam Ngiling Tikai juga perlu dihayati sebagai usaha memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Jadikan simbolik Ngiling Tikai sebagai titik permulaan untuk meninggalkan segala amalan dan perkara negatif, seterusnya membentuk peribadi yang lebih baik demi kesejahteraan keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak Bahagian Betong Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan SJK (C) Min Syn, Saratok pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha penganjur yang menampilkan pelbagai pengisian berteraskan warisan masyarakat Dayak seperti pertandingan anyaman sidan, pertandingan menyumpit, pertandingan Ratu Kebaya Indai Orang, persembahan ngajat dan bermukun.
Katanya, penganjuran aktiviti sedemikian bukan sahaja memeriahkan sambutan, malah mampu menyemai minat generasi muda untuk terus menghargai, memelihara dan mewarisi seni budaya serta permainan tradisional masyarakat Dayak.
Turut hadir ialah ADUN Kalaka Mohamad Duri, Residen Bahagian Betong Richard Micheal Abunawas, Pegawai Daerah Saratok merangkap Pengerusi Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak Bahagian Betong 2026 Muhammad Dino Amid serta tetamu lain.-EDISI UKAS