PKS Sarawak Perlu Rebut Peluang Dalam Industri AI, Semikonduktor & Aeroangkasa
KUCHING: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak perlu bersedia menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, aeroangkasa dan pembuatan maju bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus transformasi ekonomi negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemasukan pelaburan berskala besar ke Sarawak membuka peluang luas kepada PKS tempatan untuk berkembang sebagai pembekal, rakan strategik dan penyedia perkhidmatan dalam industri berimpak tinggi.
Menurutnya, antara 2021 hingga 2025, sektor strategik di Sarawak berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM116.8 bilion yang mewujudkan kira-kira 28,190 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh asas ekonomi negeri.
“Pada masa sama, Sarawak turut meneroka bidang ekonomi baharu yang akan membentuk daya saing negeri pada masa hadapan, termasuk ekonomi angkasa, aeroangkasa, pembuatan maju, agroteknologi serta industri semikonduktor dan AI.
“Keyakinan pelabur global membuktikan Sarawak berada di landasan yang tepat,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri MINTRED Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh pada majlis perasmian ‘SME-Platinum Business Award (PBA) 2026 Roadshow Kuching’ di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, beberapa pelaburan utama yang berjaya dibawa masuk termasuk peluasan operasi X-FAB bernilai RM3 bilion di Kuching, pelaburan RM2 bilion oleh OCI Tokuyama Semiconductor Materials di Bintulu serta pelaburan semula RM1.8 bilion oleh Western Digital bagi membangunkan kemudahan pembuatan substrat kaca berteknologi tinggi untuk menyokong industri AI.
Katanya, projek-projek tersebut dijangka mewujudkan kira-kira 1,300 pekerjaan berkemahiran tinggi selain mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Sehubungan itu, beliau menegaskan PKS tempatan perlu memperkukuh daya saing menerusi tadbir urus yang baik, pendigitalan dan penggunaan teknologi pintar agar mampu menembusi pasaran yang semakin kompetitif.
Menurutnya, ketiga-tiga elemen itu kini menjadi tunjang kepada transformasi ekonomi Sarawak dan selaras dengan tema PBA 2026 iaitu ‘Governance, Digitalisation, Intelligence’.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini sebanyak 17,746 PKS di Sarawak telah berjaya mengadaptasi penyelesaian digital menerusi pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan negeri, bersamaan hampir 60 peratus daripada sasaran mendigitalkan 30,000 PKS di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam pada itu, beliau menggesa lebih banyak syarikat dari Sarawak menyertai PBA 2026 sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan perniagaan, selain mempamerkan kemampuan usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Dr. Chin Chee Seong serta Presiden Persatuan PKS Sarawak Jordan Ong Chung Siang.-EDISI UKAS