Peruntukan Kerajaan Perlu Sampai Kepada Golongan Sasaran
BINTANGOR: Setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan perlu diurus secara telus, berhemah dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai oleh golongan sasaran.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, penerima peruntukan juga perlu memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan memberi impak positif kepada masyarakat, selain merancang pelaksanaannya secara teratur dan berkesan.
"Pastikan peruntukan yang disalurkan sampai kepada golongan sasaran. Gunakan peruntukan dengan betul selari dengan tujuan serta objektif program.
"Selain itu, setiap aktiviti yang dilaksanakan harus memberi kesan positif kepada masyarakat. Rancang semua aktiviti dengan baik dan teratur," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Bintangor, Loba Stabar dan Mupong dalam kawasan DUN Semop pada Isnin.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan beberapa peruntukan bagi melaksanakan projek pembangunan serta menyokong aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Antara peruntukan yang disampaikan ialah RM60,000 bagi projek pembinaan jeti di Kampung Abang Amin Zon 2, RM66,000 bagi kerja-kerja baik pulih siling Rumah Panjang Lily anak Awi, RM2,000 kepada Kelab Seni Sekolah Kebangsaan Mupong serta RM5,000 bagi menjayakan Aktiviti Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Mupong.-EDISI UKAS