KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Cawangan Sarawak di Astana Negeri Sarawak, pada Isnin.
Kunjungan itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara MCPF dan kepimpinan Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan usaha pencegahan jenayah, keselamatan komuniti, kesedaran awam serta kesejahteraan sosial.
Dalam pertemuan tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menzahirkan penghargaan kepada MCPF Sarawak atas komitmen berterusan meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jenayah dan menggalakkan yayasan itu memainkan peranan lebih proaktif di seluruh negeri, khususnya dalam memperkukuh penglibatan belia, pendidikan komuniti serta inisiatif pencegahan.
Pada masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap perkembangan perundangan terkini yang memperkukuh tanggungjawab bersama ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menangani isu buli di sekolah.
Menurutnya, usaha membendung gejala buli memerlukan komitmen kolektif daripada keluarga, sekolah, agensi kerajaan dan masyarakat.
Dalam sesi taklimat itu, delegasi MCPF turut membentangkan pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan pencegahan jenayah, program jangkauan komuniti, pemerkasaan belia, kesedaran keselamatan siber serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa dan institusi pendidikan.
Turut dibincangkan hasrat HELP University untuk menubuhkan kampus di Sarawak bagi menyumbang kepada pembangunan modal insan, penyelidikan dan penglibatan komuniti.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak menyambut baik cadangan tersebut dan mengiktiraf peranan penting institusi pengajian tinggi dalam menyokong pembangunan sosioekonomi Sarawak untuk jangka panjang.
Selain itu, pihak MCPF turut memberi cadangan menjalankan penyelidikan serta dokumentasi mengenai komuniti pribumi Sarawak yang semakin berkurangan bagi memelihara warisan sejarah, budaya dan antropologi negeri ini. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim