Kemudahan Sukan Kampung Lembah Hijau Dinaik Taraf Demi Manfaat Komuniti
MIRI: Kemudahan sukan yang lebih selesa dan berkualiti di Kampung Lembah Hijau dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan komuniti setempat, khususnya dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan sosial dalam kalangan penduduk.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin penyediaan kemudahan rekreasi yang baik merupakan antara komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan awam yang berkualiti dan inklusif.
“Penyediaan kemudahan sukan ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti riadah, malah menjadi platform penting dalam pembangunan belia serta mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tinjauan ke tapak projek di Kampung Lembah Hijau, pada Isnin.
Projek itu melibatkan kos sebanyak RM150,000 dan dilaksanakan oleh Bayu Indah Enterprise.
Kerja-kerja projek bermula dengan penyerahan tapak pada 12 Januari 2026 dan berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dengan tarikh siap pada 11 April 2026 tanpa sebarang lanjutan masa, sekali gus mencatatkan kemajuan 100 peratus.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kawasan DUN Senadin merupakan antara yang terbesar di Sarawak, justeru pelaksanaan projek pembangunan perlu dirancang secara berperingkat mengikut keutamaan serta peruntukan yang tersedia.
Tambah beliau, masih terdapat beberapa kawasan yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur dan pihaknya telah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan bagi memastikan lebih banyak projek dapat dilaksanakan pada masa akan datang.
Beliau turut berharap agar permohonan peruntukan tambahan tersebut dapat diluluskan bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan projek pembangunan demi kesejahteraan penduduk di DUN Senadin.-EDISI UKAS