TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Ke Malaysia
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Manjurul Karim Khan Chowdhury di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Pertemuan tersebut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Sarawak dan Bangladesh, khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan serta pembangunan sumber manusia.
Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk pertanian berasaskan agro, keterjaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan pengajian tinggi.
Pertemuan itu juga menekankan kepentingan memperkasakan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi masa hadapan.
Penguasaan bidang STEM menjadi asas kepada kemajuan industri berteknologi tinggi seperti tenaga hidrogen, teknologi hijau, penangkapan karbon dan industri aeroangkasa, sekali gus melahirkan modal insan yang berdaya saing serta mampu menerajui pembangunan negeri.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan produktif itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan serta meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat bersama. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim