Sistem Saliran Sebauh Perlu Diperkukuh Elak Banjir Berulang
BINTULU: Sistem perparitan di Sebauh perlu diperkasa bagi mengurangkan risiko banjir berulang sekali gus memastikan pembangunan di kawasan itu dapat dilaksanakan secara mampan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, sistem saliran sedia ada perlu dinilai semula bagi mengenal pasti punca kejadian banjir, termasuk kemungkinan longkang tersumbat atau kapasiti perparitan yang tidak lagi mampu menampung pertambahan pembangunan.
Beliau berkata, banyak kawasan di Sebauh masih menggunakan parit tanah yang dibina sejak dahulu, sedangkan pembangunan perumahan dan pertambahan penduduk semakin pesat.
“Baru-baru ini Bintulu dilanda banjir. Hanya dalam tempoh 24 jam kawasan itu sudah dinaiki air. Kita perlu memahami puncanya, sama ada longkang tersumbat, sistem saliran terhalang atau saiz parit tidak lagi mencukupi.
“Kita mesti menaik taraf sistem perparitan itu. Saya mahu dalam tempoh dua tahun akan datang, penambahbaikan sistem saliran di Sebauh menjadi antara petunjuk prestasi utama (KPI).
“Jika Sebauh terus dilanda banjir, semua usaha pembangunan akan terjejas,” katanya ketika merasmikan Pesta Sebauh 2026 pada Isnin.
Beliau turut menggesa Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf sistem saliran di Sebauh bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat diteruskan tanpa dibelenggu masalah banjir.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Pesta Sebauh bukan sekadar medan hiburan, malah berperanan mengeratkan hubungan masyarakat serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk luar bandar.
Katanya, budaya saling mengenali dan bergotong-royong yang masih utuh dalam komuniti luar bandar perlu terus dipelihara walaupun kawasan itu berkembang pesat.
“Sekarang kita lihat di bandar, rumah sebelah pun kadang-kadang kita tidak kenal siapa penghuninya.
“Tetapi di luar bandar, kita kenal rumah, rumah panjang dan kampung. Itulah yang kita mahu pertahankan,” ujarnya.
Beliau berkata, pelbagai acara disusun sepanjang pesta termasuk pertandingan sukan, kebudayaan dan Power Boat Race 2026 yang dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung termasuk penyertaan dari Brunei.
Turut hadir, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling Bartholomew Allu dan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Steven Kong Kai Seng.-EDISI UKAS