Naik Taraf Loji Rawatan Air Lubau Capai 45 Peratus, Dahului Jadual
BETONG: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Lubau yang meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 30 juta liter sehari (MLD) kepada 60 MLD kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 45 peratus.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kemajuan tersebut sekali gus mendahului jadual pelaksanaan projek sebanyak lima peratus.
“Apabila siap kelak, Loji Rawatan Air Lubau akan menjadi antara loji rawatan air utama di Bahagian Betong selain Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok yang turut dinaik taraf daripada kapasiti 30 MLD kepada 60 MLD.
“Loji Rawatan Air Licuk di Saratok pula kini berkapasiti 25 MLD,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Khamis selepas meninjau tapak projek naik taraf loji berkenaan.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi memaklumkan, dua lagi projek bekalan air sedang dilaksanakan di Bahagian Betong, iaitu pemasangan sistem grid paip dari Simpang Betong ke kawasan sekitar Saratok serta dari Simpang Betong ke kawasan sekitar Pusa.
Menurut beliau, semua projek bekalan air yang dibiayai Kerajaan Sarawak itu akan membentuk sistem grid air yang lebih menyeluruh di Bahagian Betong apabila siap kelak.
Katanya, pelaksanaan sistem tersebut dijangka dapat memperkukuh serta menstabilkan bekalan air kepada penduduk di seluruh Bahagian Betong.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Datu Jafri Lias serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak Datu Ir. Ts. Awang Mohd Fadhilah Awang Redzuan.-EDISI UKAS