Jambatan Batang Lupar 1 Buka Lembaran Baharu Mobiliti, Rakyat Bersyukur
SEBUYAU: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 bukan sekadar melengkapkan satu lagi projek infrastruktur ikonik Sarawak, malah mengakhiri kebergantungan puluhan tahun penduduk terhadap perkhidmatan feri, sekali gus membawa perubahan besar kepada kehidupan harian masyarakat setempat.
Perubahan itu jelas dirasai penduduk yang menyifatkan jambatan sepanjang 4.8 kilometer itu sebagai pemangkin kepada perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat, di samping membuka peluang baharu kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan perasmian jambatan yang turut diiktiraf sebagai jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia itu pada Khamis.
Petugas di Pusat Khidmat DUN Saribas, Abang Suhaimi Abang Mohamad berkata, pembukaan jambatan tersebut menamatkan penantian penduduk yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.
"Alhamdulillah, jambatan ini sangat bermakna buat penduduk luar bandar kerana ia bukan sahaja memudahkan urusan seharian, malah menjadikan masa perjalanan kami kini jauh lebih singkat dan lancar berbanding dahulu,” katanya ketika ditemui UKAS semasa majlis perasmian tersebut.
Sementara itu, Pembantu Tadbir Majlis Daerah Sebuyau, Normy Dim berkata, pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja membuktikan keupayaan Kerajaan Sarawak melaksanakan projek berimpak tinggi, malah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pembangunan terus dinikmati hingga ke kawasan luar bandar.
"Kejayaan membina jambatan ini mencetuskan rasa bangga sebagai rakyat Sarawak. Ia bukan sekadar mercu tanda baharu, tetapi simbol kemajuan yang membawa manfaat terus kepada masyarakat,” katanya.
Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Bahagian Samarahan pula berkata, manfaat paling ketara yang dirasai ialah penjimatan masa perjalanan apabila tempoh menyeberangi Batang Lupar yang sebelum ini mengambil masa sehingga 45 minit menggunakan feri kini hanya memerlukan beberapa minit melalui jambatan tersebut.
Menurut beliau, perubahan itu bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah mempercepat pergerakan bagi tujuan pekerjaan, pendidikan, perniagaan serta akses kepada pelbagai perkhidmatan.
Tinjauan UKAS juga mendapati rata-rata penduduk menyambut pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 dengan penuh kesyukuran kerana melihat kemudahan itu sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup, pembangunan ekonomi setempat serta hubungan yang lebih lancar antara kawasan pesisir dan bandar. -EDISI UKAS