KUCHING: Sarawak Multimedia Authority (SMA) membuka pencalonan bagi Anugerah Ekonomi Digital 2026 (DEA2026) sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan inovasi dan transformasi digital di negeri ini.
Dalam kenyataan media pada Khamis, SMA memaklumkan, anugerah peringkat negeri yang dianjurkan bersempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2026 (IDECS2026) itu mengiktiraf inisiatif digital yang memberi impak serta berasaskan bukti dalam pelbagai sektor termasuk industri, kerajaan, penyelidikan, keusahawanan, ekonomi kreatif dan kelestarian.
Kenyataan tersebut memberitahu, DEA2026 terbuka kepada syarikat swasta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi, organisasi penyelidikan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat pemula (startup), pencipta kandungan digital dan individu di seluruh Sarawak.
Bertemakan ‘Scaling Innovation Ecosystems for a Borderless Economy: Earth, Orbit and Beyond’, DEA2026 mempertandingkan tujuh kategori anugerah iaitu Anugerah Teknologi Digital, Anugerah Penyelidikan & Pembangunan, Anugerah Inovasi AI, Anugerah Industri Kreatif Digital, Anugerah Penyelesaian Pintar, Anugerah Kerajaan Digital dan Anugerah Kelestarian Alam Sekitar.
SMA turut memaklumkan, lima daripada kategori berkenaan telah diberi penjenamaan semula bagi mencerminkan perkembangan semasa industri digital termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pembangunan bakat.
Pemenang DEA edisi terdahulu turut digalakkan mengemukakan penyertaan baharu, namun setiap projek hanya boleh dicalonkan di bawah satu kategori dan mestilah merupakan inovasi yang dibangunkan di Sarawak.
Penyertaan dibuka mulai 6 Julai hingga 6 September 2026.
Maklumat lanjut mengenai kit penyertaan, kategori, syarat kelayakan serta kriteria penilaian boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi Digital Economy Awards.
Finalis akan dipilih melalui proses penilaian dan pembentangan sebelum pemenang diumumkan pada Majlis Makan Malam Gala IDECS2026 yang dijadual berlangsung pada 5 Oktober 2026.-EDISI UKAS