Akses Perhubungan Pesat Membangun, Kawasan Luar Bandar Sarawak Tidak Lagi Terpencil
SIBU: Kejayaan program Konvoi Bermotosikal Premier Sarawak dari Jambatan Batang Lupar 1 ke Sibu membawa mesej jelas bahawa kawasan luar bandar Sarawak tidak lagi terpencil, sebaliknya pesat membangun dengan pelbagai infrastruktur asas lengkap.
Program konvoi yang diketuai oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bukan sekadar aktiviti riadah, ia bukti jelas pesatnya akses perhubungan di kawasan luar bandar termasuk di kawasan zon tengah negeri ini.
Jambatan Batang Lupar 1 yang menjadi titik permulaan program konvoi itu pada Khamis menjadi 'game changer' dalam menghubungkan kawasan pesisir sekali gus bakal membuka pelbagai peluang ekonomi bernilai tinggi di kawasan Sebuyau.
Diiktiraf sebagai jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia, struktur ikonik itu menjadi saksi pembangunan rancak dibawa oleh kerajaan negeri pimpinan Premier Sarawak di Sebuyau.
Premier Sarawak yang mengetuai konvoi 20 motosikal berkuasa tinggi berlepas dari Jambatan Batang Lupar Lambang jam 12.55 tengahari tadi, menuju ke Pusa sebelum ke Sarikei dan berakhir di Sibu kira-kira jam 6.05 petang.
Perjalanan sejauh 214 kilometer itu seakan mudah apabila akses perhubungan di seluruh kawasan tengah Sarawak lengkap dengan siapnya Jajaran Lebuhraya Pan Borneo, projek jalan dan jambatan lain.
Semuanya hasil komitmen tinggi kerajaan dalam menyediakan infrastruktur asas lengkap demi memastikan masyarakat luar bandar menikmati pembangunan setara dengan mereka yang di bandar.
Selain menyerlahkan pembangunan yang ada di negeri ini, program itu juga menjadi wadah dalam mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Ia menjadi manifestasi kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Premier Sarawak untuk mendekati masyarakat luar bandar secara terus bagi mendengar suara dan aspirasi yang mereka hasratkan.
Penyertaan ramai pemimpin negeri bersama Premier Sarawak dalam konvoi ini memberi mesej jelas bahawa kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
Antara yang menyertai konvoi bermotosikal ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Penasihat (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta anakanda Premier Sarawak, Dato Abang Abdillah Izzarim Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.
Selain itu, ia turut disertai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta beberapa kenamaan lain dengan diiringi lebih 20 kenderaan lain. - EDISI UKAS