Jambatan Batang Lupar 1 'Game Changer' Laluan Pesisir Sarawak
SEBUYAU: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 disifatkan sebagai 'game changer' kepada pembangunan kawasan pesisir Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kawasan ini merupakan laluan yang strategik kerana mempunyai jalan pintas yang dapat digunakan sekali gus membolehkan pergerakan di kawasan ini dipendekkan kepada masa yang lebih singkat.
"Inilah salah satu hadiah yang amat bermakna kepada kami yang tinggal di kawasan pesisir, bukan sahaja di Sebuyau, tetapi juga kepada seluruh penduduk di sepanjang laluan jalan pesisir di Sarawak," katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini, pada Khamis.
Lebih manis jelasnya, jambatan ini termasuk dua jambatan lain iaitu Jambatan Igan dan Jambatan Rambungan turut dibina menggunakan bajet Kerajaan Sarawak setelah pembatalan ketiga-tiga projek daripada Kerajaan Persekutuan terdahulu.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada penduduk di kawasan pesisir, khususnya di kawasan Sebuyau, kerana telah memberi kerjasama bagi membolehkan Jambatan Batang Lupar dilaksanakan dan dibina sehingga membawa satu mercu tanda kebanggaan di Sarawak.
Kini jelasnya, Jambatan Batang Lupar 1 telah membawa perubahan yang begitu ketara di kawasan Sebuyau, Meludam, Pusa, dan kawasan yang berdekatan di mana aliran trafik di kawasan tersebut semakin meningkat sekali gus memperkasa ekonomi penduduk setempat.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir, Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir & Natalie Cherinie Johnny