KUCHING: Sarawak bakal menghimpunkan pemain industri halal dari pelbagai negara menerusi Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026, yang dijangka menjadi platform strategik memperkukuh kerjasama antarabangsa serta mempercepat pembangunan ekonomi halal di rantau Borneo.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Abdul Rahman Junaidi, berkata BIHAS 2026 akan berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Julai 2026 di Kuching Waterfront Square dan The Waterfront Hotel, Kuching.
Menurut beliau, penganjuran BIHAS 2026 menghimpunkan pemain industri halal, pembuat dasar, pelabur, usahawan, ahli akademik serta pakar industri dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh jaringan kerjasama, berkongsi pengetahuan serta meneroka peluang baharu dalam ekonomi halal global.
“BIHAS 2026 merangkumi Persidangan Halal Antarabangsa dan Expo Halal Antarabangsa, dengan persidangan julung kali diadakan di Kuching yang bakal menampilkan lebih 30 penceramah bertaraf antarabangsa dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Türkiye, Arab Saudi, Brazil dan Jepun.
“Pelbagai isu serta perkembangan semasa industri halal global akan dibincangkan, termasuk inovasi, pensijilan, perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri halal,” katanya dalam sidang media BIHAS 2026 di Kuching pada Rabu.
Selain persidangan, Expo Halal Antarabangsa akan menghimpunkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal daripada syarikat-syarikat di Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Menurut beliau, BIHAS 2026 akan dirasmikan oleh Premier Sarawak pada 21 Julai 2026 di The Waterfront Hotel, Kuching, yang turut menyaksikan pelancaran Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026–2030 serta majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik pembangunan industri halal.-EDISI UKAS