RM400,000 Untuk Naik Taraf Jalan & Dewan Kampung Bra’ang Bayur
KOTA PADAWAN: Sebanyak RM400,000 diperuntukkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan kampung dan dewan serbaguna di Kampung Bra’ang Bayur.
Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara & Jalan) Sarawak merangkap ADUN Mambong, Keron Mapus, berkata lawatan tapak yang diadakan pada Rabu bertujuan melaksanakan verifikasi tapak, menentukan skop kerja serta menyediakan Bill of Quantities (BQ) sebelum projek dilaksanakan.
Beliau berkata, projek pertama melibatkan kerja menaik taraf jalan kampung dengan peruntukan RM300,000, merangkumi penurapan jalan kampung dan kerja-kerja menurap kawasan perkarangan dewan bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan penduduk.
“Projek kedua pula melibatkan kerja menaik taraf dewan serbaguna kampung dengan peruntukan RM100,000, termasuk pembinaan tandas, pemasangan awning di bahagian serambi dan kerja-kerja elektrikal bagi menambah baik kemudahan sedia ada,” katanya ketika mengetuai lawatan tapak tersebut.
Lawatan itu turut disertai kakitangan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), yang merupakan agensi pelaksana bagi kedua-dua projek berkenaan.
Kedua-dua projek dijangka dilaksanakan pada tahun 2027 dan diharap dapat meningkatkan kualiti kemudahan awam serta memenuhi keperluan penduduk Kampung Bra’ang Bayur.-EDISI UKAS