SARIKEI: Sebanyak 33 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) menerima peruntukan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi memperkukuh peranan sekolah dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih berkualiti.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan sektor pendidikan melalui sokongan kepada PIBG dan LPS yang menjadi penghubung penting antara sekolah, ibu bapa serta komuniti.
Menurut beliau, kedua-dua organisasi berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan kemudahan dan kebajikan sekolah, malah memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah, disiplin serta nilai murni dalam kalangan pelajar menerusi kerjasama yang erat dengan pihak sekolah.
“Apabila ibu bapa, guru dan masyarakat bekerjasama, usaha melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta berdaya saing dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, di sini, pada Rabu.
Selain penyaluran MRP, Dato Sri Huang berkata kerajaan juga terus menyalurkan pelbagai bantuan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, beg dan keperluan sekolah bagi meringankan beban ibu bapa serta memastikan tiada murid tercicir daripada mendapat akses kepada pendidikan.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan murid dengan memastikan bantuan berkaitan persekolahan terus disediakan supaya faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Repok turut menggesa semua pihak supaya terus memelihara kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah agar sentiasa berada dalam keadaan kondusif.
Ujarnya, suasana pembelajaran yang bersih, selamat dan selesa mampu meningkatkan tumpuan serta motivasi murid untuk belajar, sekali gus menyumbang kepada pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah yang lebih cemerlang.
Tambahnya, sokongan berterusan Kerajaan membuktikan bahawa pendidikan terus menjadi antara keutamaan dalam agenda pembangunan Sarikei, sekali gus memastikan warga sekolah dan pelajar mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.-EDISI UKAS