12 NGO Sarikei Terima Peruntukan MRP Bagi Perkasa Aktiviti Komuniti
SARIKEI: Sebanyak 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarikei menerima peruntukan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menghargai sumbangan NGO yang sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu komuniti menerusi pelbagai bidang.
Menurut beliau, NGO bukan sahaja menjadi wadah penyatuan masyarakat, malah turut membantu melaksanakan program berkaitan kebajikan, sukan, kebudayaan, keagamaan dan kemasyarakatan yang mampu memperkukuh hubungan dalam kalangan penduduk.
“Kerjasama antara kerajaan dan NGO amat penting kerana pertubuhan ini menjadi antara pemangkin dalam menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP bagi kawasan Parlimen Sarikei di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, di sini, pada Rabu.
Dato Sri Huang berharap, peruntukan yang diterima dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap pertubuhan bagi memperkukuh gerak kerja masing-masing serta memperluaskan lagi aktiviti yang memberi impak positif kepada komuniti.
Ujarnya, penglibatan aktif NGO amat diperlukan dalam memastikan usaha membina masyarakat yang prihatin, harmoni dan saling membantu dapat diteruskan secara berterusan.
“Kesepakatan serta semangat perpaduan yang dipupuk dalam kalangan masyarakat merupakan kekuatan utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan demi memacu kemajuan Sarikei,” tambahnya.-EDISI UKAS