Jambatan Batang Lupar 1 Diiktiraf MBOR Sebagai Jambatan Merentasi Sungai Terpanjang Di Malaysia
SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar 1 mencipta sejarah apabila secara rasmi diiktiraf oleh ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) sebagai jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan Sarawak melaksanakan projek infrastruktur berskala besar yang memberi impak signifikan kepada pembangunan negeri.
"Kita cukup berbangga kerana pada hari ini juga MBOR akan menyerahkan satu sijil mengakui bahawa Jambatan Batang Lupar 1 sebagai jambatan merentasi sungai yang terpanjang di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, dengan panjang keseluruhan 4.844 kilometer dengan nilai RM484 juta, ia sekali gus menjadi mercu tanda baharu kejuruteraan yang membanggakan Sarawak.
Menyentuh cabaran pembinaannya, Datuk Amar Douglas memberitahu, projek tersebut merupakan antara projek kejuruteraan paling mencabar di Malaysia kerana dibina di kawasan muara yang mempunyai arus deras dari pelbagai arah, ombak kuat serta keadaan geologi yang kompleks.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu menambah, projek Jambatan Batang Lupar turut menggunakan gantri pelancaran terbesar di Malaysia untuk pemasangan galang jambatan, selain tongkang cerucuk setinggi 108 meter yang juga merupakan yang tertinggi pernah digunakan di negara ini.
Selain itu, kewujudan Pulau Triso yang membahagikan aliran sungai kepada dua laluan pelayaran turut meningkatkan kelajuan arus sehingga dua kali ganda, sekali gus menjadikan pembinaan lebih mencabar.
"Namun, dengan perancangan yang teliti dan reka bentuk yang inovatif, jambatan ini berjaya dibina tanpa menjejaskan ekosistem Pulau Triso, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pembangunan yang mengutamakan kelestarian alam sekitar," jelasnya.
Pada kemuncak majlis, Datuk Amar Douglas turut menerima sijil pengiktirafan daripada pihak MBOR hasil pencapaian membanggakan untuk Jambatan Batang Lupar 1 sambil disaksikan oleh Premier Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ameerul Shafiq Khir, Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir & Natalie Cherinie Johnny