Projek Jambatan Batang Lupar Dibatalkan, Bukan Ditangguhkan: Premier Sarawak
SEBUYAU: Dakwaan bahawa projek pembinaan Jambatan Batang Lupar hanya ditangguhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dan bukannya dibatalkan adalah tidak benar, tegas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, naratif tersebut sengaja dimainkan tanpa bersandarkan fakta sebenar sehingga boleh mengelirukan rakyat mengenai sejarah pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, dakwaan bahawa peruntukan projek itu dialihkan bagi membiayai pembinaan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) juga tidak berasas kerana projek berkenaan hanya mula diusahakan beberapa tahun kemudian.
"Tetapi saya ingin menyatakan di sini, jika benar dana itu diperuntukkan untuk SSLR, hakikatnya projek tersebut hanya mula diusahakan pada tahun lalu.
"Dengan perpaduan erat rakyat Sarawak dan kesepakatan kami dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita berjaya menyelesaikan isu pembiayaan dan meneruskan usaha menghubungkan kawasan luar bandar. Bukan hanya Jambatan Batang Lupar, malah semua jambatan yang kita bangunkan menggunakan dana Sarawak sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata keputusan membatalkan pembinaan tiga jambatan utama ketika itu, iaitu Jambatan Batang Lupar, Jambatan Igan dan Jambatan Rambungan, memberi tekanan kepada Kerajaan Sarawak yang pada masa itu berada di pihak pembangkang di peringkat Persekutuan.
"Perkara itu diputuskan bahawa jambatan ini tidak perlu dibina kerana dana tersebut dicadangkan untuk digunakan bagi projek Sabah-Sarawak Link Road. Pada masa yang sama, GPS yang baharu ditubuhkan berada di pihak pembangkang di peringkat Persekutuan, walaupun menerajui Kerajaan Sarawak.
"Keputusan itu memang hendak membuatkan kerajaan negeri susah, namun saya bersama rakan-rakan dalam kepimpinan GPS bertekad bahawa walaupun berdepan kesukaran, kita akan tetap mencari penyelesaian untuk meneruskan projek ini,” tegas beliau.
Beliau menambah, komitmen Kerajaan Sarawak akhirnya membolehkan projek-projek jambatan strategik tersebut diteruskan menggunakan pembiayaan negeri sendiri demi meningkatkan jaringan perhubungan dan merancakkan pembangunan luar bandar di Sarawak. -EDISI UKAS