Selangau Belum Rekod Pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat
KUALA LUMPUR: Parlimen Selangau sehingga kini belum merekodkan sebarang pelaksanaan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) meskipun inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Sarawak.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, berhubung insentif pembiayaan perumahan mikro mesra B40, termasuk pembinaan semula dan baik pulih rumah panjang yang usang.
Menurut KPKT, penduduk di Parlimen Selangau yang memenuhi syarat kelayakan masih boleh memohon Program Rumah Mesra Rakyat yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
Program tersebut terbuka kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah yang tidak memiliki rumah atau mendiami rumah usang, dengan pembinaan dilaksanakan di atas tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang mendapat kebenaran.
Kerajaan turut menyediakan subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit RMR, manakala baki kos pembinaan ditanggung oleh pemohon.
Bagi komuniti rumah panjang di Sarawak, KPKT menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak turut menyediakan Program Pinjaman Kepada Perseorangan Rumah Panjang (PKPRP) yang diperkenalkan sejak 1978 bagi membantu pembiayaan pembinaan serta penambahbaikan rumah panjang.
Sehingga kini, sebanyak 3,775 unit RMR telah dilaksanakan di seluruh Sarawak, dengan 3,625 unit siap dibina dan diserahkan kepada pemilik, manakala 150 unit lagi sedang dalam pembinaan.
Bagi memperluaskan manfaat program tersebut, KPKT memaklumkan SPNB sedang memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan serta syarikat milik kerajaan dan swasta bagi meningkatkan pelaksanaan RMR, sekali gus mengurangkan senarai menunggu dan memperluaskan peluang pemilikan rumah kepada penduduk luar bandar, termasuk di Selangau.-EDISI UKAS