Sarawak Terus Bangunkan Negeri Dengan Dana Sendiri
KUCHING: Sarawak terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan strategik menggunakan dana sendiri tanpa bergantung kepada pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, antara projek utama yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri ialah Sistem Transit Aliran Automasi (ART) yang kini sedang dibangunkan di Kuching.
“Sarawak ini susah untuk mendapatkan peruntukan sebab rakan kita di Kuala Lumpur kadang-kadang dia nak beri, kadang-kadang dia tak nak beri.
“Tetapi sekarang, Sarawak mempunyai hasil negeri yang kukuh dan projek ART ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Saya tabik kepada Pulau Pinang sebab mereka juga mahu membangunkan ART atau Transit Aliran Ringan (LRT) tetapi Pulau Pinang mendapat pembiayaan daripada Kuala Lumpur, namun kita tiada,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Reunion Alumni Universiti Nanyang di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, kejayaan Sarawak membiayai sendiri projek berkenaan adalah hasil peningkatan hasil pendapatan negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, Sarawak juga mengorak langkah lebih besar terutamanya dalam industri tenaga bersih dan boleh diperbaharui seperti tenaga solar, biojisim, penghasilan ammonia dan juga hidrogen dalam memperkasakan ekonomi baharu yang akan menambah pendapatan Sarawak.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak mempunyai dasar yang terbuka bagi memperkukuh ekonomi dengan memberikan nilai tambah kepada sumber-sumber yang dimiliki. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie