Usahawan Wanita Perlu Manfaatkan Pendigitalan Bagi Perluas Pasaran
BINTULU: Usahawan wanita di Bintulu digesa untuk memanfaatkan teknologi digital, e-dagang dan inovasi bagi memperluaskan pasaran serta meningkatkan daya saing perniagaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, langkah itu penting bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya yang diterajui wanita, mampu merebut peluang ekonomi selaras dengan aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital dan berpendapatan tinggi.
“Usahawan wanita perlu berani memanfaatkan teknologi digital dan inovasi untuk membawa produk serta perkhidmatan tempatan ke pasaran yang lebih luas, termasuk ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Minum Petang Kelab Usahawan Wanita Bintulu (KUWB) 2026 di Hotel Lihua, di sini, pada Sabtu.
Pada majlis itu, Johnny turut dilantik sebagai Penasihat Kehormat KUWB dan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah untuk terus menyokong pembangunan usahawan wanita di Bintulu.
Beliau berkata, usahawan wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi walaupun perlu mengimbangi tanggungjawab menguruskan perniagaan dan keluarga.
Justeru, beliau menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan KUWB serta agensi berkaitan dalam mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, sekali gus menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan dan mengembangkan perusahaan mereka.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing berkata, KUWB merupakan platform penting dalam membangunkan ekosistem keusahawanan wanita melalui perkongsian pengalaman, jaringan perniagaan, pembangunan keyakinan diri serta melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya tahan dan berdaya saing.
“Saya berharap lebih ramai usahawan wanita tampil sebagai mentor kepada generasi baharu agar pengalaman dan kejayaan mereka dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita di luar sana untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng.
Ujar beliau, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui bantuan, pembiayaan, latihan keusahawanan, program pembangunan kapasiti serta inisiatif pendigitalan.-EDISI UKAS