Majlis Apresiasi Hargai Komitmen Jayakan Gawai Dayak 2026 di Miri
MIRI: Komitmen padu serta kerjasama erat pelbagai pihak dalam menjayakan ‘Gawai Dayak Bazaar & Ethnocultural Festival’ sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 terus dihargai menerusi penganjuran Majlis Apresiasi yang berlangsung di sini, pada Sabtu.
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu itu menjadi simbol penghargaan kepada jawatankuasa kecil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat serta sukarelawan yang telah menyumbang tenaga dan masa sepanjang penganjuran festival tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Pengerusi Pengelola Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, Datuk Dr Penguang Manggil berkata kejayaan sesuatu program bukan sahaja bergantung kepada perancangan rapi, malah memerlukan semangat kerjasama serta pengorbanan semua pihak yang terlibat.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan daripada pengunjung sepanjang festival berlangsung membuktikan usaha yang dilaksanakan telah mencapai objektif selain berjaya menonjolkan keunikan budaya masyarakat Dayak.
“Setiap penganjuran perlu berani menampilkan kelainan agar memberi impak dan meninggalkan kenangan kepada pengunjung, sekali gus mengangkat martabat budaya ke tahap lebih tinggi,” katanya semasa berucap.
2026, Datuk Dr Penguang turut mengajak semua organisasi dan komuniti untuk terus memperkukuhkan perpaduan serta semangat kebersamaan dalam menjayakan program seumpama itu pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan majlis apresiasi berkenaan sebagai satu penghargaan wajar kepada individu di belakang tabir yang telah bekerja keras memastikan kelancaran penganjuran festival.
Hadir sama, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Temenggong Boniface Bada, Pemanca Alexander Isut, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Pandang Semat serta Pengerusi Penganjur Majlis Apresiasi, Penghulu Wilfred Mac.-EDISI UKAS