ADUN Opar Tinjau Kemajuan Projek Pembinaan Gereja St Catherine
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang mengadakan lawatan bagi meninjau kemajuan Projek Pembinaan Gereja St Catherine di Kampung Raso 2, di sini, pada Sabtu.
Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai perkembangan pembinaan gereja berkenaan, selain mendengar taklimat berkaitan status pelaksanaan projek serta penggunaan peruntukan yang disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Menurut taklimat yang diberikan, projek pembinaan Gereja St Catherine telah menerima peruntukan UNIFOR secara berperingkat melibatkan RM200,000 bagi Fasa 1 dan RM700,000 bagi Fasa 2.
Peruntukan tersebut telah digunakan bagi meneruskan pembinaan bangunan gereja yang kini memasuki Fasa 3, manakala pelaksanaan fasa seterusnya masih menunggu kelulusan peruntukan tambahan bagi memastikan keseluruhan projek dapat disiapkan mengikut perancangan.
Billy berkata, lawatan seperti itu penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang menerima peruntukan kerajaan dilaksanakan secara telus, teratur dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa Gereja St Catherine atas komitmen mereka dalam mengurus pelaksanaan projek serta berharap pembinaan gereja itu dapat disiapkan sepenuhnya demi menyediakan kemudahan ibadat yang lebih selesa kepada komuniti setempat.
Katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan rumah ibadat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini. -EDISI UKAS